Saturday, October 24, 2009

ABSTRAK


Pengetahuan asas tentang alam sekitar perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat khususnya para pelajar di sekolah. Guru memainkan peranan penting dalam menerapkan pengetahuan dan seterusnya meningkatkan kesedaran alam sekitar. Sebuah modul pengajaran bertajuk Pemeliharaan dan Pemuliharaan Hutan Hujan Tropika telah dihasilkan dalam usaha membantu para guru mengajar Pendidikan Alam Sekitar dengan lebih berkesan. Satu kajian telah dijalankan bertujuan menilai kefahaman guru-guru terhadap modul tersebut serta membuat analisis mengenai tahap pengetahuan dan kesedaran di kalangan guru-guru. Ia juga meliputi hubungan signifikan antara tahap pengetahuan dengan faktor latar belakang akademik. 12 buah sekolah menengah di daerah Gombak menjadi lokasi kajian yang terdiri daripada 133 responden dari pelbagai latar belakang akademik. Kaedah kajian adalah berdasarkan modul pengajaran dan borang soal selidik. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap pengetahuan adalah tinggi (peratus betul >75%), sedangkan tidak terdapat hubungan yang signifikan antara tahap pengetahuan dengan faktor latar belakang akademik (p>0.05). Manakala tahap kesedaran guru-guru terhadap alam sekitar adalah sederhana (M = 3.396, SP = 0.941) dan kefahaman guru-guru terhadap modul dari aspek teks (M = 3.419, SP = 0.816), aktiviti (M = 3.382, SP = 0.973) dan secara keseluruhan (M = 3.427, SP = 0.820) juga adalah sederhana. Sebagai rumusan, walaupun tahap pengetahuan di kalangan guru-guru adalah tinggi, namun demikian tahap kefahaman mereka terhadap alam sekitar masih sederhana dan menyebabkan tahap kesedaran guru-guru masih tidak memuaskan.

No comments:

Post a Comment